Sumbangan Amir Hamzah Sulaiman
Kita adalah sangat beruntung kerana dengan usaha gigih dan perjuangan Rasulullah s.a.w., kita dapat menikmati Islam, yang dapat menyelamatkankan kita dari api neraka dan seksaan kekal Allah s.w.t. Untuk itu sayugialah kita mengkaji perjuangan dakwah Rasulullah s.a.w. untuk kita mengambil iktibar dan cuba mengikuti formula yang ditinggalkan Baginda s.a.w. untuk keselamatan diri, keluarga dan umat kita. Dari ketika Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi Rasul oleh Allah s.w.t., Baginda berada di Mekah selama tiga belas tahun sabelum berhijrah ke Madinah. Pada masa ini, kaedah atau uslub dakwah Baginda s.a.w. berteraskan kepada empat (4) asas ya-itu :-
Asas 1 – Seruan kepada KeEsaan Allah s.w.t. saperti dalam surah al-Ikhlas ayat 1-4 “Katakanlah Dialah Tuhan Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu, dia tiada beranak dan tidak diperanakkan, dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan Dia.” Manusia di seru untuk meneliti, mengkaji dan menyelidik melalui penggunaan akal terhadap sekelilingnya dan terhadap penciptaan makhluk untuk mendapat bukti keagungan Allah Taala (Ar-Rum 30:22). Seruan ini membebaskan kaum Quraish ketika itu dari sikap jumud (beku/pasif) dan ikatan asabiah kekabilahan ( As-Saff at 37:69-71).
Asas 2 – Balasan Baik/Buruk di Akhirat - Kepercayaan dan keyakinan kepada Hari Kebangkitan dan pengadilan Allah s.w.t. bahawa manusia akan dibalas sama ada syurga atau neraka berasaskan apa yang disumbangkan di dalam penghidupan dunia. Surah ke-99 Al-Zalzilah ayat 7 dan 8 ”Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat zarrah pun, nescaya dia akan dapat melihat (balasan)nya.” Allah memperjelaskan dengan nyata tanggungjawab setiap individu kepada kelakuanya (Surah Al-An’aam 6:164, Surah Abasa 80: 34,42)
Asas 3 – Taqwa sebagai nilai akhlak untuk keredaan Allah s.w.t. menjadi pengganti sifat asabiah atau sifat taksub berpuak-puak kepada kabilah masing2. Taqwa sebagai nilai baru yang universal dan meliputi semua bangsa diguna untuk pembinaan masyarakat. Surah ke-49 Al-Hujuraat ayat 13 “..Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah yang paling bertaqwa di antara kamu.” Taqwa bererti takut kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, melakukan apa saja yang disuruhNya dan meninggalkan apa yang Allah s.w.t. larang. Jadi dengan ini, Islam tidak melihat kepada asal keturunan, bangsa atau kekayaan seseorang, tetapi melihat kepada nilai akhlak yang menguasai diri.
Asas 4 – Satu Risalah, Satu Sumber – Mempertegaskan tentang kesatuan risalah, kerana semuanya diperolehi dari Allah s.w.t.. Ini menghapuskan kepelbagian anutan agama yang menguasai masyarakat Arab jahiliah waktu itu. Ayat 13 Surah ke-42 Asy-Syuura “Dia telah mensyariatkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkanNya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa da Isa yaitu; Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecahbelah tentangnya.” Prinsip satu sumber ini berkekalan dalam dakwah Rasulullah s.a.w. kemudian hari saperti dijelaskan apabila turun ayat 64 Surah ke-3 Ali-Imran di Madinah “Katakanlah, Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai tuhan selain Allah…..”.
Disunting oleh AHSABAK
0 comments:
Post a Comment