Hukum Korban


Sumbangan Amir Hamzah Sulaiman


Korban ertinya menyembelih binatang tertentu pada waktu yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.

Dalil Al-Quran
  1. Ayat 2 Surah ke-108 Al-Kautsar “Dan tunaikanlah sembahyang kerana Tuhan mu dan berkorbanlah.”
  2. Ayat 34 surah ke-22 Al-Hajj “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepadanya.”
Dalil Hadith
  1. Daripada Abdullah ibn Aun, Nabi s.a.w. bersabda “Wahai manusia! Sesungguhnya atas tiap-tiap ahli rumah pada setiap tahun disunatkan berkorban.” (Riwayat Abu Daud)
  2. Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda “Barangsiapa yang mempunyai kemampuan tetapi ia tidak berkorban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami.” (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)
  3. Sabda Nabi s.a.w. “Saya disuruh menyembelih korban, dan korban itu sunat bagi kamu.” (Riwayat Tirmizi)
  4. Sabda Rasulullah s.a.w. ‘ Diwajibkan kepadaku berkorban, dan tidak wajib atas kamu.” (Riawayat Daruquthni)
Syarat-Syarat Berkorban – Ya-itu sesiapa yang memenuhi syarat-syarat ini, sunat berkorban. Jika tidak, dia tidak disunatkan berkorban :-
  1. Berkemampuan
  2. Merdeka
  3. Baligh dan berakal (disyaratkan oleh fuqaha Syafie sahaja)
  4. Bukan orang yang mengerjakan haji (disyaratkan oleh mazhab Maliki sahaja)
Syarat-Syarat Sah Korban
  1. Hanya binatang ternak saperti unta, lembu dan kambing sahaja yang boleh dijadikan korban berdasar firman Allah ayat 34 surah ke-22 Al-Hajj “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepadanya.”
  2. Empat kecacatan yang menjadikan binatang itu tidak sah dikorbankan ialah yang buta sebelah matanya, berpenyakit, yang tempang dan yang kurus berdasar hadith dari Barrak ibn Azib, Nabi s.a.w. bersabda “Empat jenis binatang yang tidak boleh dijadikan korban iaitu binatang yang nyata butanya, binatang yang nyata sakitnya, binatang yang nyata ketempangannya, dan binatang yang patah yang belum sembuh dari patahnya.”
  3. Para fuqaha berpendapat umur binatang korban mestilah cukup 1 tahun untuk kambing. 2 tahun untuk lembu dan 5 tahun untuk unta. Untuk lembu dan unta, boleh berkongsi tujuh orang.
  4. Waktu berkorban bermula salepas solat Hari Raya Korban pada 10 Zulhijjah sehingga tamat waktu asar 13 Zulhijjah. Waktu yang paling afdal ialah pada 10 Zulhijjah sabelum gelincir matahari.
  5. Penyembelih beragama Islam. Jika penyembelih Ahli Kitab , tidak sah mengikut mazhab Maliki dan makhruh bagi mazhab yang lain.
  6. Niat berkorban

Sunat-Sunat Korban
  1. Menurut mazhab Hanafi, sunat diikat (tidak dibiar lepas bebas) binatang yang hendak dikorban beberapa hari sebelum dikorban.
  2. Orang yang berkorban menyembelih sendiri jika mampu. Sekurang-kurangnya hadhir ke tempat penyembelihan.
  3. Menghadap kiblat ketika menyembelih.
  4. Gunakan pisau yang tajam.
  5. Menurut mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian fuqaha Hanbali, sunat bagi orang yang berkorban bila masuk awal Zulhijjah, tidak bercukur dan memotong kuku sehinnga korban dilakukan.
  6. Berdoa
 
Hukum Berkaitan Daging Korban
  1. Makan Daging Korban
    Para fuqaha sepakat mengatakan korban sunat boleh dimakan oleh orang yang berkorban. Untuk korban wajib pula. saperti korban nazar, bagi mazhab Syafie dan Hanafi, tidak boleh dimakan orang yang berkorban. Manakala  mazhab Maliki dan Hanbali mengharuskannya. Tentang memberi makan daging korban kepada orang kafir, mazhab Syafie mengharamkan, mazhab Maliki menghukum makhruh, mazhab Hanafi harus dan mazhab Hanbali harus untuk korban sunat dan haram untuk korban nazar.
  1. Sedekah dan Hadiah Daging Korban
    Menurut fuqaha Hanafi dan Hanbali, sunat membahagikan daging korban kepada tiga bahagian; 1/3 untuk dimakan, 1/3 untuk sedekah fakir miskin dan 1/3 untuk hadiah kepada kaum kerabat dan sahabat handai walaupun kaya berdasar hadith riwayat Ibn Abbas yang bermaksud “Dan dia (Rasulullah s.a.w.) memberi makan ahli keluarganya 1/3,, memberi makan kepada jiran yang fakir 1/3 dan menyedekahkan kepada peminta sedekah 1/3.” Fuqaha Maliki dan Syafie pula tidak menentukan nisbah pembahagian, tetapi masih diwajibkan sedekah sebahagian daripada daging korban walaupun sedikit.
  1. Menjual Daging Korban, Kulit dan Sebagainya
    Haram menjual daging atau apa saja daripada binatang korban saperti kulit berdasar hadith yang bermaksud “Barangsiapa yang menjual kulit binatang korbannya, maka tiada korban baginya.” (Riwayat Al-Hakam). Haram juga memberi kulit kepada tukang lapah sebagai upah tetapi tidak mengapa jika diberi atas dasar hadiah. Orang yang berkorban boleh mengambil kulit untuk kegunaan dirinya tetapi menyedekahkannya adalah lebih afdal.
Penutup
Ayat 37 surah ke-22 Al-Haj menerangkan ruh atau tujuan korban sabenarnya, ertinya “Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasar takwa dari kamu. ….”
Suntingan : AHSABAK

0 comments:

Post a Comment