Waktu Solat 1 Zulhijah 1430 Subuh 5:41pg – Syuruk 6:58pg - Zuhur 1:01tgh - Asar 4:18ptg - Maghrib 7:00mlm - Isyak 8:10mlmSEKAPUR SIREH Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Syukur kepada Allah yang memberikan kita kesempatan untuk bertemu satu lagi hari kebesaran Islam iaitu Aidil Adha. Ia merupakan hari raya yang dikaitkan dengan ibadah haji dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS. Bagi mereka yang mampu, pada saat ini mereka berhimpun di Tanah Suci sebagai melengkapkan segala rukun yang berkaitan dengan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji.
Bagi kita yang tidak berkesempatan, maka pada hari itu kita akan berhimpun bersama di masjid ini bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat Aidil Adha. Seterusnya kita akan melaksanakan ibadah korban sepertimana yang diperintahkan Allah SWT. Daging korban itu akan disedekahkan kepada fakir miskin.
Tahun ini kami memberi pilihan untuk mengadakan korban samaada di masjid, atau di surau-surau kariah, ataupun di luar negara. Korban di surau-surau kariah memberi peluang untuk jemaah surau bersama-sama melibatkan diri dalam ibadah ini. Korban di luar negara adalah untuk manafaat masyarakat yang melalui kesusahan hidup.
Kepada semua bakal haji kariah Masjid Tun Abdul Aziz didoakan agar Allah SWT melimpahkan rahmat dan dikurniakan kesihatan, dipermudahkan urusan dan dikurniakan haji yang mabrur.
Akhir kata diucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha dari saya dan ahli-ahli jawatankuasa serta warga kerja masjid.
Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)
Solat sunat Hari Raya Haji akan bermula pada 8:30pg 27hb Nov 2009
Penyembelihan korban adalah pada hari raya kedua. Para petugas yang telah berdaftar disaran berkumpul mulai pukul 7:00pg
Untuk korban tempatan harga sebahagian lembu adalah RM370.00 dan untuk satu ekor lembu RM2590.00 (7 bahagian).
Kuliah-kuliah anjuran Biro Wanita ditangguh semasa cuti sekolah.
YANG LAYAK MENERIMA Pihak Masjid dan Lembaga Zakat Selangor menyeru ahli kariah untuk tampil memberi maklumat akan ahli kariah kita yang wajar mendapat bantuan zakat dan kebajikan. Ini meliputi ibu tunggal yang mempunyai tanggungan anak-anak, anak yatim dan yatim-piatu, keluarga dengan pendapatan isi rumah yang rendah, ketidakmampuan menampung kos perubatan, dan seumpamanya. Agihan hibah daging korban akan diutamakan kepada mereka sebagai penerima senarai khusus. Kenalilah jiran kita. Bantu membantu membawa berkat dan keharmonian masyarakat.
Ahli kariah yang ingin berkhidmat secara sukarela bagi program penyembelihan korban dijemput mendaftar sebagai petugas. Borang boleh diisi di Pejabat Am Masjid. Bilangan petugas adalah terhad. Tarikh akhir pendaftaran adalah 25hb November 2009.
MAJLIS KHATAM AL-QURAN
KAFAI AL-AZIZIAH 2009 Majlis Khatam Al-Quran pada hari Sabtu 14 November 2009 merupakan majlis tahunan bagi KAFAI Al-Aziziah. Pelajar-pelajar yang menyertai khatam Al-Quran adalah seramai 47 orang, iaitu 14 orang pelajar lelaki dan 33 orang pelajar perempuan. Majlis khatam tersebut merupakan majlis yang ke 13. KAFAI Al-Aziziah ditadbirkan oleh pengetuanya Ustaz Hj Md Salleh yang penuh bersemangat dan berdedikasi bersama guru-gurunya untuk memastikan anak-anak didik bukan sahaja berjaya dalam pendidikan, bahkan berjaya juga menjadi anak-anak yang dapat menghayati serta gemar membaca dan mengamalkan Al-Quran.
Semoga ditahun-tahun yang akan datang, Allah SWT memberi kekuatan kepada KAFAI Al-Aziziah untuk melangkah lebih maju kehadapan didalam merongkah arus pendidikan yang menjamin kebahagiaan didunia dan akhirat.
IBADAH HAJI Pertama - Ibadah Haji Adalah Simbol Pengorbanan Untuk Agama. Keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda dalam menunaikan ibadah haji merupakan suatu pengajaran kepada kita bahawa sebagai hamba Allah SWT, kita sebenarnya dituntut berkorban demi agama.
Renungilah pengorbanan para rasul-rasul, khususnya Nabi Ibrahim AS yang sanggup meninggalkan isteri dan anaknya bersendirian di tanah Makkah semata-mata pengorbanannya kepada Allah SWT. Demikian juga Nabi Muhammad SAW berkorban dengan meninggalkan tanah air berhijrah ke Madinah semata-mata menegakkan agama. Persoalannya, banyak manakah masa, tenaga, fikiran dan harta benda kita sendiri korbankan untuk agama?
Insaflah bahawa tanpa perjuangan dan pengorbanan dalam membangun agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara, maka agama akan hilang keagongannya dan ia akan dipermainkan oleh musuh-musuh Islam. Justeru Allah SWT menuntut kita berjuang dan berkorban, sepertimana dalam firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga.” (At-Taubah:111)
Kedua - Ibadah Haji Simbol Perpaduan.
Berhimpunnya jemaah haji dari seluruh dunia di kota Makkah dan Madinah adalah satu pengajaran bahawa umat Islam perlu saling menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, kedudukan dan pangkat. Budaya kasih sayang dan saling bekerjasama inilah yang menjadi amalan di kalangan golongan Ansar dan Muhajirin yang menjadi faktor utama tertegaknya negara Islam Madinah.
Sejarah mencatatkan hebatnya tahap kasih sayang di kalangan Muhajirin dan Ansar hingga dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai pakaian kepada saudara dari golongan Muhajirin. Mereka yang mempunyai dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin. Mereka yang mempunyai dua rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin. Mereka yang memiliki dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada kaum Muhajirin, bahkan ada orang Ansar yang mempunyai dua isteri berhasrat menceraikan seorang isteri untuk diberikan kepada saudaranya golongan Muhajirin.
Demikianlah hebatnya perpaduan golongan Ansar dan Muhajirin yang diikat oleh iman dan takwa kepada Allah SWT. Justeru itu, Allah SWT memerintahkan kita membina perpaduan dengan kaedah iman dan takwa sepertimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.” (Ali-Imran:103)
Ketiga - Ibadah Haji Simbol Persamaan Taraf. Kewajipan berpakaian ihram yang seragam di kalangan jemaah haji tanpa mengira kedudukan dan pangkat, memberi pengajaran bahawa semua manusia di sisi Allah SWT adalah sama taraf. Prinsip inilah yang menjadi faktor penting kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan agama. Sejarah mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW melayani masyarakat di zamannya secara samarata, tiada beza membeza sekalipun dengan anak sendiri. Hal ini ditegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdullah bin `Amr: “Sesungguhnya Allah telah menghancurkan umat terdahulu disebabkan sikap mereka, apabila seorang yang berdarjat mencuri tidak dihukum, tetapi jika orang miskin melakukannya barulah mereka melaksanakan hukuman hudud. Tidak! Demi Allah, jika Fatimah, anakku sendiri yang mencuri, nescaya aku sendiri yang memotong tangannya."
KORBAN Aidil Adha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah SWT mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda. Tanpa pengorbanan tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan.
Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang.
Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim AS untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah SWT dan Nabi-Nya.
Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah SWT adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi menegakan akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT.
Inilah intipati pengajaran daripada pengorbanan agong yang diterokai oleh Nabi Ibrahim, isterinya dan anaknya. Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang suci, Nabi Ismail AS yang sabar berani, dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat kepada kita semua.
MUTIARA KATA Sabda Rasulullah SAW "Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (Aidil Adha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban.” (Bukhari dan Muslim).
MUHASABAH DIRIAdakah kita berhak menerima daging korban?
Adakah kita mampu melaksanakan korban?
Satu ekor unta? …..Lembu? …..Kambing?
Berapa banyakkah perbelanjaan kita dalam setahun untuk hiburan? Untuk kelab-kelab sosial? Untuk makan di tempat mewah? Untuk perhiasan diri yang berlebihan? Untuk percutian luar negeri?
Cuba kita jumlahkan semua itu. Sekira ianya jauh lebih banyak dari harga sebahagian korban, bersyukurlah kita kepada Allah SWT akan rahmat Nya kepada kita. Maka tingkatkanlah ibadah kita dengan melaksanakan berkorban.
PENGORBANAN Amalan yang diterima Allah SWT adalah amal-amal yang ikhlas, yang dilakukan secara jujur tanpa meminta ganjaran dari sesiapapun baik berupa wang ataupun hadiah. Itulah pengorbanan. Apakah pengorbanan kita?
Hari-hari yang diharamkan berpuasa:
• 1 Syawal ( Hari Raya Puasa)
• 10 Zulhijjah ( Hari Raya Haji)
• 11,12,13 Zulhijjah ( Hari Tasyrik)
• Hari Syak ( 30 Syaaban)
Niat Solat Aidil Adha اصَلِّي سُنَّة عيد الأضحي رَكعَتَينِ مأموماِللهِ تَعَالَي
Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat mengikut imam kerana Allah Taala
HUKUM KORBANKorban ertinya menyembelih binatang tertentu pada waktu yang tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
Dalil Al-Quran •“Dan tunaikanlah sembahyang kerana Tuhan mu dan berkorbanlah.” (Al-Kautsar:2)
•“Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepadanya.” (Al-Haj:34)
Dalil Hadith •Sabda Rasulullah SAW “Wahai manusia! Sesungguhnya atas tiap-tiap ahli rumah pada setiap tahun disunatkan berkorban.” (Abu Daud)
•Sabda Rasulullah SAW “Barangsiapa yang mempunyai kemampuan tetapi ia tidak berkorban maka janganlah ia menghampiri tempat sembahyang kami.” (Ahmad dan Ibnu Majah)
•Sabda Rasulullah SAW “Saya disuruh menyembelih korban, dan korban itu sunat bagi kamu.” (Tirmizi)
SYARAT-SYARAT BERKORBAN •Berkemampuan
•Merdeka
•Baligh dan berakal
SYARAT SAH KORBAN Hanya binatang ternak seperti unta, lembu dan kambing sahaja yang boleh dijadikan korban berdasar firman Allah SWT “Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan (korban) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzekikan Allah kepadanya.” (Al-Haj:34)
Empat kecacatan yang menjadikan binatang itu tidak sah dikorbankan ialah yang buta sebelah matanya, berpenyakit, yang tempang, dan yang kurus. Hadith dari Barrak ibn Azib, Nabi SAW bersabda “Empat jenis binatang yang tidak boleh dijadikan korban iaitu binatang yang nyata butanya, binatang yang nyata sakitnya, binatang yang nyata ketempangannya, dan binatang yang patah yang belum sembuh dari patahnya.”
Para fuqaha berpendapat umur binatang korban mestilah cukup 1 tahun untuk kambing. 2 tahun untuk lembu dan 5 tahun untuk unta. Untuk lembu dan unta, boleh berkongsi tujuh orang.
Waktu berkorban bermula selepas solat Hari Raya Korban pada 10 Zulhijjah sehingga tamat waktu asar 13 Zulhijjah. Waktu yang paling afdal ialah pada 10 Zulhijjah sebelum gelincir matahari.
Penyembelih beragama Islam. Jika penyembelih Ahli Kitab , tidak sah mengikut mazhab Maliki dan makhruh bagi mazhab yang lain.
Niat berkorban
JADUAL ACARA KORBAN
28 NOVEMBER 2009
- 7.00 pg : Pengesahan daftar para petugas & Sarapan pagi untuk para petugas
- 7.45 pg : Penyembelihan lembu pertama
- 11.00 pg : Agihan hibah daging kepada peserta korban &: Agihan hibah daging kepada senarai khusus
- 11.30 pg : Agihan hibah daging kepada umum
- 12.00 tgh : Makan tengah hari para petugas & Agihan hibah daging kepada para petugas
Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan Telefon: (03) 7958 5868 Faks: (03) 7957 9111 Emel: masjidbulat@gmail.com