Syawal 1430

Waktu Solat 1 Syawal 1430 Subuh 5:48pg – Syuruk 7:04pg - Zuhur 1:09tgh - Asar 4:14ptg - Maghrib 7:12mlm - Isyak 8:20mlm

Solat sunat Aidil Fitri akan bermula pada 1 Syawal 1430 jam 8:30pg

Majlis Rumah Terbuka Masjid jam 10:00pg 11 Oktober 2009

Bermula Syawal 1430, semua jenis perniagaan dalam kawasan masjid dihentikan buat sementara dalam tempoh waktu sembahyang pada hari Jumaat dari azan Zuhur hinggakan tamat sembahyang berjemaah.

Kadar Zakat Fitrah ialah RM7.00 bersamaan 2.7kg beras.


SEKAPUR SIREH

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh kepada ahli kariah Masjid Tun Abdul Aziz.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat kebahagiaan dan kegembiraan dengan kedatangan bulan Syawal yang penuh dengan keceriaan.

Ramadan telah melatihkan kita membentuk kemuliaan dan kekuatan jiwa dengan berpuasa dan mengeluarkan zakat serta melakukan amalan-amalan lain seperti sedekah, solat sunat dan sebagainya. Selesainya bulan Ramadan bukanlah menjadi noktah kepada amalan-amalan yang telah dilakukan, sebaliknya perlu diteruskan kebajikan tersebut dibulan-bulan berikut.

Marilah sama-sama kita mengambil kesempatan Aidil Fitri Al-Mubarak ini untuk kita mempertingkatkan hubungan dengan Allah SWT dengan memberikan komitmen yang padu kepada perintah-perintah Nya. Begitu juga tingkatkan hubungan sesama manusia dengan menghidupkan amalan bermaaf-maafan dan memperkukuhkan hubungan silaturahim. Kami mengalu-alukan kedatangan ahli kariah bersama keluarga ke majlis Rumah Terbuka Masjid yang akan diadakan pada 22 Syawal 1430 / 11 Oktober 2009.

Akhirnya diucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada semua yang telah memberi berbagai-bagai sumbangan kepada masjid pada bulan Ramadan. Semoga kehidupan kita diberkati Allah SWT di dunia dan akhirat. Selamat Hari Raya Aidil Fitri diucapkan dari saya dan ahli-ahli jawatankuasa serta warga kerja masjid. Maaf Zahir dan Batin.

Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)


ADAB SAMBUT AIDIL FITRI

Ketika kita menyambut hari raya yang penuh kegembiraan ini, sebagai umat Islam kita hendaklah menyambutnya mengikut lunas-lunas agama. Amalan ziarah-menziarahi dapat merapatkan hubungan rasa kasih sayang, mengeratkan silaturrahim, hormat menghormati antara sahabat handai dan jiran tetangga. Ia memperlihatkan perpaduan umat Islam serta jalinan ukhuwah Islamiah.

Telah menjadi kelaziman, setiap kali kita menyambut hari raya Aidil Fitri, kita akan mengadakan rumah terbuka untuk meraikan tetamu-tetamu. Amalan tersebut sememangnya amat baik dan mendapat pahala jika disertai dengan niat yang ikhlas, tanpa melakukan pembaziran dan sifat riya' atau untuk bermegah-megah.

Oleh itu, dalam kita beramal ibadah dalam menyediakan jamuan dan menghulurkan sedekah janganlah timbul perasaan di dalam hati untuk menunjuk-nunjuk atau ingin membangga diri. Perbuatan sedemikian dilarang dan dimurkai oleh Allah SWT, bahkan boleh menyebabkan amalan yang kita lakukan itu menjadi sia-sia.

Etika berhari raya seperti yang dianjurkan dalam Islam, diantaranya:
1. Sentiasa menghidupkan amalan bertakbir, bertasbih dan bertahmid kepada Allah SWT pada malam dan pagi hari raya.
2. Mengamal budaya ziarah menziarahi bagi mengerat hubungan silaturahim dan bermaaf-maafan antara satu sama lain.
3. Menggalakkan amalan bersedekah kepada golongan yang memerlukan bagi mengembirakan mereka.
4. Memakai pakaian yang baru, cantik dan bersih.
5. Mengelakkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh agama.


PENGAJARAN RAMADAN

Sesungguhnya Ramadan telah banyak memandu kita meningkatkan takwa melalui amalan solat fardhu atau sunat, membudayakan diri ke masjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Qur’an, bertaubat, berdoa dan berzikir. Oleh itu, marilah sama-sama kita menghayati segala amalan tersebut di bulan-bulan seterusnya. Mudah-mudahan kehidupan kita akan dinaungi takwa dan sekaligus cemerlang di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf ayat 96:
Maksudnya : ” Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. "

Secara umumnya terdapat empat faktor pengajaran yang boleh mengubah dan membentuk diri kita menjadi insan soleh dan bertakwa hasil daripada pendidikan Madrasah Ramadan iaitu:

Pertama : Semakin tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Maksudnya ialah ketaatan di sepanjang Ramadan lalu mendorong kita untuk tetap melakukan setiap aspek pekerjaan seharian mematuhi garis panduan dan kehendak syarak di samping mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Kedua : Mensyukuri nikmat makanan dan minuman. Ramadan juga menjadikan kita umat yang tahu bersyukur atas nikmat rezeki makan dan minum. Dengan nikmat ini kita rajin beribadah, banyak bersedekah dan suka menghulurkan bantuan kepada golongan yang lemah.

Ketiga : Tabah hati dalam menghadapi pelbagai ujian, cabaran dan dugaan. Asas penting untuk memperoleh sifat ini ialah sifat sabar sepanjang Ramadan. Sifat sabar tersebut telah meningkatkan mutu ibadah, akhlak terpuji, semangat tolong menolong dalam perkara kebaikan, melahirkan pemimpin yang berkualiti, pekerja yang produktif dan seumpamanya.

Keempat : Ketekunan dalam mengerjakan ibadah. Sifat tekun ini datangnya daripada kesungguhan kita melakukan solat tarawih dan bertadarus al-Qur’an. Natijah daripada amalan-amalan tersebut mampu melahirkan modal insan yang bertanggungjawab, adil, berintegriti tinggi, amanah dan mempunyai Haibah dalam apa jua lapangan yang diamanahkan kelak.

Di bulan Ramadan, kita begitu istiqamah dalam melakukan amal kebaikan seperti bertadarus, bersedekah, beriktikaf, berdoa, berzikir dan sebagainya. Maka seharusnya amalan-amalan mulia ini diteruskan pada bulan-bulan yang berikutnya.


SEPINTAS RAMADAN


KAUNTER KUTIPAN ZAKAT 

PENYEDIAAN BUBUR LAMBUK

 
MENJAMU IFTAR

   
KHATAM AL-QUR’AN



PUASA SUNAT SYAWAL

Sabda Rasulullah SAW riwayat Muslim yang bermaksud “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, maka ia seumpama berpuasa sepanjang tahun”.

Setelah bergembira merayakan Aidil Fitri, sama-samalah pula kita teruskan semangat Ramadan yang tertanam di jiwa dengan melaksanakan puasa sunat di bulan Syawal sebagaimana yang dituntut kepada kita melakukannya.

Puasa sunat adalah haram pada 1 Syawal iaitu pada Hari Raya pertama akan tetapi puasa sunat Syawal boleh dilakukan pada bila-bila hari lain. Walaubagaimanapun yang afdhalnya ialah dari hari kedua Syawal berturut-turut hingga hari ketujuh.


PERMATA MUSLIMAH


Pn Halijah Binti Hassan, Jalan 14/50, PJ
“Sambutan bermula pada malam raya, dimana ramai yang datang untuk takbir raya. Selepas solat Aidil Fitri, pergi melawat kubur arwah kakak suami, Hj Ismail. Beraya bersama anak-cucu di sini kemudian kami beramai-ramai balik ke Singapura untuk beraya dengan keluarga di sana.”

Pn Roslaini Binti Hj Nasir, Puchong Indah.
“Pagi raya saya di sini bersama suami di masjid. Kemudian selepas solat Aidil Fitri kami akan melawat kubur. Selalunya raya kedua balik beraya di Puchong.”

Pn Mariam Binti Hj Mohd Zain, Jalan 21/18, PJ
“Sebelum tahun ini kami balik ke rumah kakak. Tahun ini agak berbeza setelah kakak pulang ke Rahmatullah. Rasanya kami akan beraya di sini bersama empat anak lelaki serta menantu dan cucu. Juadah raya akan disediakan untuk keluarga.”

Pn Siti Ramlah Binti Osman, Jalan 14/15, PJ
“Sambutan Aidil Fitri adalah di rumah saya. Anak-cucu akan berkumpul bersama. Juadah raya yang saya sediakan selalunya adalah lontong, rendang, ketupat pulut daun palas, dan juga ketupat biasa. Anak-anak kemudiannya akan ke rumah mertua masing-masing.”

Pn Zaliha Binti Abdul Majid, Jalan 14/15, PJ
“Seperti tahun-tahun yang lepas persiapan hari raya disediakan oleh anak-anak. Persiapan rumah, baju-baju, keperluan diri, kuih-muih dan lauk-pauk. Cucu-cucu akan memenuhi rumah.”


BELIA WAJA


Sdr Ayub Bin Abul Jamil, Jalan 12/12, PJ
“Apakah erti Syawal? … Graduasi bulan tarbiyah. Masa untuk menyambut kejayaan Ramadan disisi keluarga dan sahabat berbekalkan kesantunan dan kesederhanaan hasil didikan Ramadan.”


Sdr Muhammad Hafiz Bin Hassan, Jalan 21/18, PJ
“Kedatangan Syawal memberi kegembiraan kepada saya dan keluarga kerana berjaya melaksanakan rukun Islam ketiga, tetapi terasa sedih meninggalkan Ramadan. Malam raya saya bantu mengemas rumah dan memasak. Sebelum solat sunat Aidil Fitri saya bantu menyediakan sarapan.”


MUTIARA CERDIK PANDAI

Adik-adik dinasihati supaya tidak bermain bunga api dan mercun kerana ia membahayakan diri dan rakan-rakan. Duit raya yang diterima perlu dibelanjakan secara baik dan juga sebahagian dijadikan simpanan walaupun sedikit. Kalau dikumpul sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.


KEMBALI KE RAHMATULLAH

Sekalung doa bagi ahli-ahli kariah yang telah kembali ke Rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga yang ada. Al-Fatihah.
1 - Hj Mohamed Shariff Bin Musa
2 - Hjh Kalsom Binti Jaafar
3 - Hjh Chanani Binti Hj Fazal Dad


BALIK KAMPUNG

Ramai yang akan pulang ke kampung untuk merayakan Aidil Fitri bersama keluarga. Cadangan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sebelum balik kampung adalah:
Padamkan gas dapur
Padamkan suis-suis eletrik bagi peralatan yang dan tingkap dikunci rapi
Maklumkan pada jiran tempoh ketiadaan


KESELAMATAN JALANRAYA

Sebelum memulakan perjalanan jauh pastikan kenderaan diservis terlebih dahulu. Dapatkan tidur secukupnya. Berhenti jika berasa letih atau mengantuk. Pastikan anak-anak kecil anda ditempatkan dalam kerusi keselamatan dan semua penumpang hendaklah menggunakan tali keledar. Pandulah secara berhemah. Memandu di jalanraya negara kita membawa banyak cubaan dan perlu kepada kesabaran. Keselamatan keluarga di tangan anda. Allah SWT tidak akan mengubah nasib kita jika kita sendiri tidak mengubahnya.


DOA NAIK KENDERAAN

وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ

Maksudnya: Maha suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini bagi kami, sedangkan kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya, dan sesungguhnya kepada Tuhan lah, kami akan kembali.


LAFAZ NIAT SOLAT SUNAT AIDIL FITRI 

اصَلِّي سُنَّة عيد الفطررَكعَتَينِ مأموما ِلله تَعَالَي ِ

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Aidil Fitri dua rakaat mengikut imam kerana Allah Taala.


TAKBIR HARI RAYA 
للهُُ اَكْبَرُ اللهُُ اَكْبَرُ اللهُُ اَكْبَرُ
لا إلهَ إلا اللهُ وَاللهُُ اَكْبَرُ
اللهُُ اَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ

اللهُُ اَكْبَرُ كبيرا والحمد لله كثيرا وسبحانَ اللهِ بُكْرَةً وَأصِيْلا.

لا إلهَ إلا اللهُ وَلا نَعْبُدُ إلا إيَّاهُ مُخْلِصِيْنَ لهُ الدِّيْنَ ,

وَلَوْ كَرِهَ المُشرِكُوْنَ / الكافِرُوْنَ / الظالِمُوْنَ / الفاسِقُوْنَ / المُنَافِقوْنَ.


لا إلهَ إلا اللهُ وَحْدَهُ ، صَدَقَ وَعْدَهُ ، وَنَصَرَ عَبْدَهُ،
وَأعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ


لا إلهَ إلا اللهُ وَاللهُُ اَكْبَرُ
اللهُُ اَكْبَرُ وَِللهِ الْحَمْدُ


MASJID


Hasil cadangan-cadangan yang telah dikemukakan daripada ramai ahli kariah, kami telah mulakan baikpulih sistem hawa dingin, pembesar suara, dan pencahayaan lampu. Harap dapat maklumbalas sekira pembaikpulihan ini masih lagi berkurangan. Sila gunakan peti cadangan yang disediakan atau mengutusi emel jika berkenaan.


MUTIARA HIKMAH

Al-Imran:96 Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya), ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Hadis riwayat Abu Zar RA, ia berkata:
Aku bertanya: Wahai Rasulullah, masjid manakah yang pertama dibangun di muka bumi ini?
Rasulullah menjawab: Masjidil Haram.
Aku bertanya: Kemudian masjid mana?
Beliau menjawab: Masjidil Aqsa.
Aku bertanya: Berapakah jarak waktu antara keduanya?
Beliau menjawab: Empat puluh tahun. Di mana saja datang waktu solat, maka solatlah, kerana di situ juga masjid.
(Sahih Muslim)


Pihak masjid bersedia untuk menguruskan korban sempena Aidil Adha untuk agihan di kawasan tempatan dan juga untuk umat Islam luar negara.

Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon: (03) 7958 5868 Faks: (03) 7957 9111 Emel: masjidbulat@gmail.com

0 comments:

Post a Comment