SEKAPUR SIREH
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Waktu berlalu begitu pantas kini bulan Ramadhan telah meninggalkan kita. Kita akan bersua lagi bulan Ramadhan pada tahun hadapan dengan izin Allah SWT. Setelah sebulan berpuasa kita menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan. Dengan kehadiran Syawal kita perlulah bermuhasabah diri dan merenung kualiti puasa kita yang telah dilakukan agar keimanan dan ketaqwaan dalam diri kita semakin meningkat. Hormatilah bulan Syawal seperti mana kita menghormati bulan Ramadhan. Penuhilah Syawal dengan berbagai amalan; banyakkan mengingati Allah SWT, berpuasa 6 hari, dan beramal kebajikan bermula dengan ibubapa, suami, isteri, anak-anak, saudara-mara, dan jiran serta taulan. Hari Raya ini janganlah kita lupakan mereka yang kurang bernasib baik, anak yatim dan fakir miskin. Hulurkanlah bantuan dimana sahaja kita mampu. Hidupkan amalan ziarah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim.
Sepanjang Ramadhan pihak masjid telah melaksanakan bermacam-macam aktiviti yang telah mendapat penglibatan yang memberangsangkan dari ahli jemaah serta ahli kariah. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang telah menyumbangkan derma bagi dana rayuan Ramadhan. Juga kepada mereka yang telah menderma dari segi peralatan seperti sistem hawa dingin, barangan, makanan dan minuman. Hasil murah hati dermawan tahun ini kita dapat menikmati air zam-zam semasa tarawih. Tidak kurang juga terima kasih kepada mereka yang telah menyumbang tenaga. Ucapan syabas kepada barisan AJK dan wargakerja yang bekerja siang dan malam tanpa mengenal letih untuk menjayakan aktivi Ramadhan. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas amalan yang baik, mudah-mudahan kehidupan kita semua dilimpahi kerahmatan dan keberkatan.
Bulan Syawal ini pihak masjid akan mengadakan Rumah Terbuka Aidilfitri bertujuan mengeratkan silaturrahim di antara ahli-ahli jemaah, ahli kariah, juga penduduk-penduduk di sekitar masjid termasuk yang bukan Islam. Dipersilakan sesiapa yang ingin bersama-sama menaja gerai-gerai juadah kearah aktiviti ini.
Akhir sekali saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)


SOLAT AIDILFITRI
1 Syawal 1431 8:30pg.
RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MASJID
25 Sept 2010 10:00pg-1:00tgh
* Tuan-tuan dan puan-puan sekeluarga dijemput ke majlis ini. Seperti tahun lalu konsep gerai-gerai akan diadakan. Dialu-alukan tajaan dari firma-firma atau perseorangan; samada untuk menghidang juadah pilihan sendiri atau menaja gerai-gerai yang akan disenarai nanti.
AMALAN NABI DI HARI RAYA
1. Memperbanyakkan Takbir
Bertakbir pada Aidilfitri merupakan amal mendekatkan diri kepada Allah SWT yang sangat dianjurkan, sebagai rasa syukur atas nikmat dan petunjuk yang diberikan kita, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah 185).
2. Mandi Sunat Hari Raya
Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari raya antaranya ialah mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
3. Memakai Pakaian Terbaik Islam agama yang sukakan kebersihan dan keindahan, maka wajarlah kita memilih pakaian terbaik untuk hari raya yang mulia ini. Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan janganlah membazir. Tidak wajar juga untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal.
4. Menjamah Makanan Sebelum Keluar
Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya Aidilfitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma...“
5. Tukar Jalan Pergi Dan Pulang Dari Solat
Ia berdasarkan hadith dari Jabir RA yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar jalan pergi dan pulang apabila di hari raya" (Bukhari)
6. Solat Sunat Eidul-Fitri
Dari Ibnu Abbas RA ia berkata "Bahawasanya Nabi SAW menunaikan solat raya dua rakaat tanpa disertai solat yang lain baik sebelumnya ataupun sesudahnya." (Bukhari & Muslim) Hadis ini menunjukkan bahwa solat raya itu hanya dua rakaat, demikian pula mengisyaratkan tidak disyariatkan solat sunat yang lain, baik sebelum atau sesudahnya.
7. Mengucapkan Selamat Dan Mendoakan
Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman Baginda SAW adalah "Taqabbalahhu minna wa minkum" ertinya “Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu”. Disebut dalam sebuah riwayat “Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan pada Baginda ‘taqabballahu minna wa minka’, Baginda menjawab ‘Ya, taqabballahu minna wa minka’”.

HARAPAN SYAWAL
Dengan berlalunya Ramadhan maka marilah sama-sama kita melakukan muhasabah diri. Apakah diterima amal ibadah kita sepanjang Ramadhan lalu? Apakah puasa kita benar-benar sebagai suatu ujian dan latihan bagi kita? Diharapkan Syawal ini menjadi bulan untuk kita menilai diri, diantaranya :
1- Kesabaran dan Mengawal Emosi
Sepanjang Ramadhan kita dilatih agar bersabar dalam semua aspek seperti menahan diri dari melakukan maksiat, juga bersabar dalam mengerjakan amal ibadah, sentiasa berusaha membuang sifat malas. Marilah kita bertanya kepada diri kita sendiri setelah berlalunya Ramadhan, apakah kita masih berjaya mengawal semua itu? Terutamanya anggota kita daripada melakukan perkara-perkara yang haram, seperti telinga tidak mendengar perkara yang dilarang, mata dijaga daripada melihat perkara maksiat, kaki tidak melangkah ke tempat yang dilarang, mulut pula berhenti daripada mengumpat, berbohong, membuat fitnah dan sebagainya.
2- Kemurahan Hati dan Amal Kebajikan
Disepanjang Ramadhan kita dapati ramai orang berlumba-lumba dan suka bersedekah tetapi selepas berlalunya Ramadhan, apakah ianya terus berlaku? Maka dalam hal ini, marilah kita merenung diri, adakah kita termasuk dikalangan orang-orang yang pemurah dan suka melakukan amal kebajikan atau sebaliknya?
3- Amalan Membaca Al-Quran
Kita sedia maklum bahawa Ramadhan adalah saat yang paling sesuai untuk menimba dan menggali sebanyak mungkin rahsia kemuliaan dan keagongan al-Quran sebagai petunjuk bagi kehidupan manusia. Apakah kita masih rajin membaca al-Quran? Sedangkan di bulan Ramadhan ramai yang mampu khatam al-Quran. Sabda Rasulullah SAW “Bacalah oleh mu al-Quran, kerana sesungguhnya al-Quran itu akan menjadi syafaat bagi pembacanya di hari kiamat” (Muslim).
Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa sepanjang tahun”. (Muslim)
SEPINTAS RAMADHAN
Geleri gambar berbagai aksi aktiviti sepanjang bulan Ramadhan boleh didapati di laman web http://masjidbulat.com

Buka Puasa

Buka Puasa

Jamuan Malam

Jamuan Malam

Tarawih Bersama Imam Muda Asyraf

Kuliah Zuhur Ustaz Ahmad Faisal

Khatam Al-Quran Bersama Ustaz Anuar Hasin & Ustaz Nik Azizan

Tadarus Perdana
USAHA PENURUNAN HABA
Masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para dermawan, termasuk satu badan agama, yang telah membuat sumbangan untuk pembiayaan kos bagi pelaksanaan projek ini. Melalui dana ini kita telah melaksanakan:
1. Pemulihan dan penambah-baikan unit-unit penghawa dingin yang lama.
2. Pemasangan lapisan kalis haba di jendela-jendela.
3. Penambahan unit-unit penghawa dingin baru.
Dengan usaha ini kita telah dapat menurunkan lebihkurang 4 darjah paras suhu. InsyaAllah usaha penambah-baikan agar suhu dapat diturunkan lagi dapat terlaksana apabila sumbangan dana tambahan diterima. Sekali lagi terima kasih kepada semua para penderma.
BALIK KAMPUNG
Ramai yang akan balik kampung untuk beraya dengan keluarga dan saudara-mara. Berikut adalah beberapa perkara untuk mengelak pecah rumah yang didapati dari pihak Polis DiRaja Malaysia.
1- Memaklumkan balai polis terdekat tentang alamat rumah, tarikh dan masa anda tidak berada di rumah.
2- Tinggalkan maklumat secukupnya bagi memudahkan pihak jiran atau polis memaklumkan sebarang kejadian kepada anda.
3- Memasang alat-alat keselamatan tambahan pada pintu utama seperti lubang pandangan, mangga dan selak keselamatan.
4- Sentiasa pasangkan lampu bila keluar rumah.
5- Jangan tinggalkan sebarang nota yang boleh membantu pemecah rumah bertindak.
6- Hubungan yang baik dengan jiran dapat membantu keselamatan rumah bila kita tiada.
7- Pastikan pintu, tingkap dan pintu pagar berkunci sebelum meninggalkan rumah atau tidur.
8- Pasangkan sistem penggera keselamatan yang baik untuk rumah.
9- Kawasan rumah hendaklah sentiasa bersih dan lapang. Semak-samun, rumpun pokok dan belukar boleh menjadi tempat persembunyian pemecah rumah/penjenayah.
10- Hentikan langganan akhbar atau roti supaya tidak meninggalkan tanda rumah tiada berpenghuni.
TADARUS PERDANA
Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Quran. Masjid telah mengadakan Majlis Tadarus Perdana pada 28 Ogos 2010 sebagai menyahut seruan membaca Al-Quran . Sambutan dari khalayak adalah sungguh baik dan suasana mendengar bacaan Al-Quran amat meriahkan.
HARI TERBUKA MASJID
Semasa Hari Terbuka Masjid pada 31 Julai 2010 sambutan sungguh tidak diduga termasuk kehadiran Pengerusi Lembaga Pungutan Zakat, YAM Tan Sri Syed Anuar dengan isterinya YAM Tengku Puteri Nor Zehan. Juga turut menjenguk masjid ialah Toh Puan Sagiyah Salikin, isteri Tun Ahmad Sarji, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd.



NIAT SOLAT AIDILFITRIأُصَلِّى سُنَّةَ عِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ أَدَاءً مَأْمُوْمًا للهِ تَعَالَىSahaja aku sembahyang sunat hari raya Aidilfitri, dua rakaat, tunai, mengikut imam, kerana Allah Taala
Nukilan ini tercatat nama-nama Allah serta ayat-ayat al-Quran, dipohon memberi perhatian dalam penggunaan dan penyimpanannya.
Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon:(03)79585868 Faks:(03)79579111 Emel:masjidbulat@gmail.com Laman web:www.masjidbulat.com
Telefon:(03)79585868 Faks:(03)79579111 Emel:masjidbulat@gmail.com Laman web:www.masjidbulat.com
0 comments:
Post a Comment