Ramadhan 1431

Waktu Solat 1 Ramadhan 1431 . . Subuh 5:53pg – Syuruk 7:12pg - Zuhur 1:21tgh - Asar 4:39ptg - Maghrib 7:28mlm - Isyak 8:39mlm


SEKAPUR SIREH

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Kita kini berada di dalam bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh dengan keberkatan. Rebutlah peluang untuk sama-sama kita mempertingkatkan amalan dalam apa jua bentuk di bulan yang mulia ini. Dalam konteks Masjid Tun Abdul Aziz, sempena bulan yang mulia ini kami telah aturkan berbagai aktiviti untuk mengimarahkan masjid kita. Setiap malam iftar akan disediakan untuk kemudahan berbuka puasa. Solat tarawih pula akan dipimpin oleh imam-imam tahfiz. Malah terdapat satu keistimewaan lain pada tarawih tahun ini iaitu penyediaan air zam-zam. Lain-lain aktiviti adalah seperti Tadarus Perdana, Program Penghayatan Ramadhan Untuk Remaja dan Majlis Khatam Al Quran. Sebagai menghidupkan sunnah Baginda SAW dalam beriktikaf, maka pada sepuluh malam terakhir masjid akan dibuka untuk qiamullail.

Bagi melaksanakan berbagai aktiviti ini sudah tentu kami memerlukan dana yang mantap. Untuk itu pihak masjid masih membuka ruang untuk menerima apa jua sumbangan dari para ahli kariah. Paling tidak, akan tampil para sukarelawan yang sudi membantu memanjangkan dan mengirimkan surat-surat rayuan Ramadhan kepada kenalan dan sahabat-handai agar tebaran usaha rayuan lebih meluas. Seperti yang saya janjikan, lebihan duit terkumpul sepanjang Ramadhan, jika ada, akan digunakan bagi membaiki prasarana Sekolah KAFA agar anak-anak kita mendapat peluang belajar Agama dan Fardhu Ain dalam bilik darjah yang selesa. Sekarang ini, ruang bilik darjah tidak berupaya menampung permintaan yang ramai. Oleh itu, para sukarelawan amat diperlukan untuk menjayakan aktiviti ini. Hubungilah pejabat masjid sekiranya berkelapangan. Amal dan usaha baik hanya Allah SWT saja yang dapat membalasnya.

Hari Terbuka Masjid yang julung kalinya diadakan telah mendapat sambutan yang sangat membanggakan. Ia merupakan satu lagi kejayaan yang ditempa oleh masjid kita dan mendapat pujian dari ramai pihak. Ia menterjemahkan bahawa Islam itu bukan hanya menjurus kepada ceramah, tazkirah dan pengajian semata, malah ia mencakupi ruang yang luas terbuka. Pihak biro wanita merancang membuka charity shop sepanjang Ramadhan ini bagi mengisi tabung masjid dengan menjual barangan yang masih berbaki. Lantaran itu, saya merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan exco/biro wanita yang menganjurkan Hari Terbuka Masjid. Juga ucapan terima kasih yang tak terhingga kepada wargakerja masjid yang menjadi tulang belakang majlis ini. Kepada semua yang telah menyumbang masa, tenaga, wang ringgit juga barangan diucapkan jutaan terima kasih. Kita juga telah menerima beberapa tetamu kehormat yang datang mengejut pada hari berkenaan sebagai satu tanda sokongan kepada kita semua. Semoga Allah SWT menerima segala kebaikan ini dan diberikan ganjaran amalan soleh dari sisiNya.

Saya dan rakan-rakan serta wargakerja masjid mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua jemaah dan ahli kariah. Semoga segala amalan kita diredhai Allah SWT.

Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)






Tarawih
Setiap malam – Pimpinan Imam-imam Tahfiz

Malam Ramadhan Perdana
21 Ogos 2010 – Tarawih Pimpinan Imam Muda Mohd Ashraf

Tadarus Perdana
28 Ogos 2010.

Kuliah Zuhur
Selasa – Ustaz Faisal
Hari lain – Tazkirah ringkas imam bertugas.

Qiamullail
10 malam terakhir - bermula 3:00pg.




Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa sepanjang tahun”. (Muslim)



RAMADHAN

Rasullulah SAW telah bersabda "Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun". (Tabrani dan Baihaqi)

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan yang mana pada bulan ini disyariatkan ibadah yang amat mulia di sisi Allah SWT, iaitu puasa. Sabda Rasulullah SAW
“Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, iaitu bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan ke atas kamu agar berpuasa pada bulan itu.” (Ahmad)

Kalamullah al-Quran telah diturunkan pada bulan ini. Seluruh umat Islam beriman bahawa al-Quran merupakan kitab yang menjadi petunjuk bagi sekalian hamba Allah SWT untuk membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Allah SWT berfirman “(Kamu diwajibkan berpuasa) pada bulan Ramadhan yang mana diturunkan Al-Quran pada bulan itu. (Al-Quran itu) menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan juga membawa keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (Al-Baqarah: 185)

Pada bulan Ramadhan yang penuh berkat ini juga dibuka seluas-luasnya pintu syurga bagi mereka yang beriman dan taat kepada perintah Allah SWT. Bahkan, di bulan yang mulia ini jugalah dilimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang menjadi penyebab memudahkan mereka masuk ke syurga. Sabda Rasulullah SAW
“Apabila datang bulan Ramadhan, pintu-pintu syurga akan dibuka.” (Bukhari)

Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba-Nya yang tekun beribadah dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Sabda Rasulullah SAW “Apabila tiba bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu rahmat.” (Muslim)

Allah SWT membuka pintu langit seluas-luasnya pada bulan Ramadhan yang mulia ini untuk menurunkan limpahan rahmat-Nya kepada sekalian hamba-hamba-Nya serta segala amalan-amalan berbentuk ketaatan kepada-Nya akan naik secara terus kepada-Nya. Sabda Rasulullah SAW “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka.” (Bukhari)


Pintu-pintu neraka pula ditutup serapat-rapatnya pada bulan Ramadhan. Ia menunjukkan bahawa pada bulan Ramadhan yang mulia ini hamba-hamba Allah yang tekun beribadah dan menurut segala perintah-Nya terlindung daripada dorongan untuk melakukan perbuatan-perbuatan terlarang yang boleh menjadi penyebab untuk mereka dicampakkan ke dalam api neraka. Sabda Rasulullah SAW “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu neraka jahanam ditutup.” (Bukhari)

Pada bulan Ramadhan syaitan dan jin dirantai untuk menghindari mereka dari mengganggu atau menghasut orang-orang yang beriman. Sabda Rasulullah SAW “Apabila tibanya malam pertama bulan Ramadhan dibelenggu syaitan-syaitan dan jin yang derhaka.” (Tirmizi)

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatul Qadar. Allah SWT berfirman “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul Qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.” (Al-Qadr:1-5)



Aisyah RA berkata “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh melakukan ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain.” (Muslim )



PUASA

Kehadiran Ramadhan yang penuh dengan keberkatan membawa isyarat bahawa umat Islam diwajibkan berpuasa pada siang hari selama sebulan. "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas umat yang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa" (Al Baqarah:183)

Secara mudah takwa bermaksud gemar melakukan segala suruhan Allah SWT dan bersungguh-sungguh menjauhi segala laranganNya. Orang yang bertakwa sentiasa merasa takut dan gerun terhadap janji siksaan daripada Allah SWT. Oleh itu, mereka akan sentiasa istiqamah, redha dan berasa kecukupan dengan apa yang dikurniakan Allah SWT kepadanya dan sentiasa bersiap sedia menghadapi saat-saat kematian.

Rasulullah SAW bersabda "Allah telah berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah untuknya melainkan puasa, sesungguhnya ia untuk Ku dan Akulah yang akan memberi ganjarannya, puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar. Jika seseorang mencacimu katakanlah kepadanya: Saya berpuasa, saya berpuasa. Demi tuhan yang diri Muhammad ditangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang akan diraikannya, ia gembira ketika berbuka dan apabila bertemu Tuhannya ia bergembira dengan puasanya". (Bukhari)

Peliharalah kesucian Ramadhan dengan melaksanakan ibadat puasa disamping menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang dan merosakkan ibadat puasa seperti mengumpat, bercakap bohong, melakukan perkara yang sia-sia, melihat perkara yang memberangsangkan nafsu syahwat, mendengar ucapan yang kotor dan keji, bertengkar sesama insan yang membawa kepada perkelahian dan apa jua perbuatan atau amalan yang membawa dan mendorong kepada kejahatan, perbuatan yang keji dan dosa.



LAILATUL QADAR

Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1000 bulan, iaitu Lailatul Qadar.

Sabda Rasulullah SAW “Carilah lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan.” (Bukhari)

Rasulullah SAW juga bersabda “Carilah (lailatul qadar) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Muslim)

Kombinasi dari kedua-dua hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.

Ibadah yang amat dianjurkan oleh Rasulullah SAW ketika berada di bulan Ramadhan antaranya ialah ibadah qiamullail, memperbanyakkan doa, berzikir, dan membaca Al Quran.

Doa yang amat dianjurkan dibaca pada malam Lailatul Qadar selepas membaca tasyahhud adalah sebagaimana hadis yang telah diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca pada solat witirnya (selepas tahiyat) “Ya Allah! Sesungguhnya Aku berlindung dengan keredhaan Mu daripada segala kemurkaan Mu. Aku juga berlindung dengan kemaafan Mu daripada segala balasan yang bakal ditimpakan. Aku juga berlindung dengan Zat Mu yang tidak terhitung segala nikmat dan belas kasihan yang telah Engkau berikan, kami hanya mampu berusaha memuji Mu seperti mana pujian yang layak bagi Zat Mu.” (Tirmizi, Nasaai, Abu Daud, Ahmad)



KEMBALI KE RAHMATULLAH

Sekalung doa bagi ahli-ahli kariah yang telah kembali ke Rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga yang ada. Al-Fatihah.
1. Dato' Haji Ahmad Ghazi bin Hj Abdul Hamid (Istara Condo, Jalan Utara)
2. Tan Sri Dato' Seri Haji Radin Soenarno bin Radin Soenariyo (Jalan 12/19)
3. Ramlah binti Che Daud (Jln 14/46)




NUZUL QURAN

Peristiwa Nuzul Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab Al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah Al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘Al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘Al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan Al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam Al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam Al-Quran.

“Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan Al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, Al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil, dan juga dikenali sebagai Al-Zikr yang bermaksud memberi peringatan.

Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW ianya memberi makna terlalu besar kepada kita semua.


ZAKAT FITRAH

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:
* Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.
* Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.
* Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.
* Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah ada 5:
Waktu wajib - Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
2. Waktu paling afdal - Sebelum sembahyang Hari Raya Aidilfitri.
3. Waktu sunat - Sepanjang bulan Ramadhan.
4. Waktu makruh - Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.
5. Waktu haram - Selepas terbenam matahari satu Syawal.

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.



INTISARI PROGRAM RAMADHAN

1. Adanya air zam-zam untuk tarawih.
2. Huraian surah-surah tarawih akan diedarkan.
3. Ustaz Wan Ainuddin pemenang Tilawah Kebangsaan dan Naib Antarabangsa akan mengimamkan solat-solat.
4. Imam Muda Mohd Ashraf akan mengimamkan Tarawih pada Malam Perdana Ramadhan.
5. Imam jemputan oleh Qari Maghribi.
6. Ustaz Anwar Hasir Pemenang Akademi Al Quran hadir dimalam Khatam Quran.
7. Bungkusan bubur lambuk disediakan pada hari Rabu dan Ahad jam 6:00ptg-6:30ptg.







أ ُصـَــلـِّــى سـُــنـَّــة َ الــتـَّــرَاو ِيـْــح ِ رَكـْــعـَــتـَــيـْــن ِ لـِــلـَّــه تـَــعـَــالـَــى

Sahaja saya solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Ta’ala.




Nukilan ini tercatat nama-nama Allah serta ayat-ayat al-Quran, dipohon memberi perhatian dalam penggunaan dan penyimpanannya.

Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon:(03)79585868 Faks:(03)79579111 Emel:masjidbulat@gmail.com Laman web:www.masjidbulat.com

0 comments:

Post a Comment