SEKAPUR SIREH
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah, kini kita telah menjangkau masuk tahun 2010. Semangat dan azam kita untuk mempertingkatkan pencapaian perlu sentiasa dititikberatkan. Pencapaian ini perlu dipantau dari masa ke semasa untuk memastikan tahap pencapaian terus meningkat dalam perhubungan kita dengan Allah SWT dan manusia.
Pada Disember 2009 mata dunia tertumpu di Copenhagen, Denmark dimana lebih 180 negara maju dan membangun menghadiri sidang Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencari jalan bagi mengurangkan kesan kerosakan bumi akibat pemanasan global atau lebih dikenali dengan kesan rumah hijau.
Persoalan yang perlu ditanya pada diri kita ialah apakah yang perlu kita lakukan sebagai khalifah di muka bumi ini. Ia bukan hanya tanggungjawab negara semata; ia adalah tanggungjawab kita bersama.
Hendaklah kita mengorak langkah untuk menjaga bumi ini dengan mendidik diri kita sendiri, ahli keluarga, rakan sekerja, sesama ahli kariah dan seterusnya melaksanakan usaha-usaha dalam menyelamatkan bumi ini.
Insya’Allah pihak Masjid Tun Abdul Aziz juga akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kesan rumah hijau. Kita perlu mengambil contoh tauladan dari Nabi Muhammad SAW sebagai khalifah di muka bumi dalam menjaga alam sekitar.
Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)
Kuliah Maghrib
Jumaat – Hadis Bukhari (Prof Madya Dr Hayei Bin Abdul Shukur)
Sabtu – Feqah (Hj Abdullah Bin Abdul Rahman)
Ahad – Jalan Menuju Redha Allah (Ustaz Abdul Aziz Bin Ibrahim)
Rabu – Ihya’ Ulumuddin (Dato’ Prof Madya Dr Mohd Mokhtar Bin Shafie)
Kuliah Subuh
Harian – Tafsir Al-Quran (Ustaz Abdul Aziz Bin Hassan)
Sabtu – “Wahai orang- orang beriman..” (Ustaz Shahrullah Bin Saidon)
Yasin & Tahlil
Khamis Maghrib
KULIAH DHUHA
Setiap Ahad 9:00pg bergilir
Ustaz Ahmad Faisal Bin Abdul Hamid
Profesor Dr Fauzi Bin Deraman
TARIKH PENTING 2010
12 Rabiulawal 1431 Maulidur Rasul 26-2-2010
27 Rejab Israk dan Mikraj 10-7-2010
1 Ramadhan Awal Ramadhan 11-8-2010*
17 Ramadhan Nuzul Al-Quran 27-8-2010
1 Syawal Hari Raya Puasa 10-9-2010*
10 Zulhijjah Hari Raya Korban 17-11-2010*
1 Muharam 1432 Awal Muharam 7-12-2010
(* Tertakluk kepada perubahan)
Bahawa Nabi SAW lewat di hadapan Saad yang sedang mengambil air wudhu maka beliau berkata kepadanya: Janganlah kamu berlaku boros dalam menggunakan air. Saad berkata pula: Wahai Rasulullah, adakah dalam penggunaan air untuk wudhu pun ada pemborosan? Beliau menjawab: Ya. Walaupun engkau berada di dalam sungai. (Ahmad)
SAFAR BUKAN BULAN BALA
Bulan Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam. Di dalam bulan ini masih ada sesetengah individu dalam masyarakat Islam yang melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang nyata bertentangan dengan syariat. Contohnya ialah upacara Mandi Safar yang pernah popular suatu ketika dahulu. Apabila tiba bulan Safar, mereka yang tinggal berhampiran dengan pantai atau sungai akan mengadakan upacara mandi beramai-ramai dan kepercayaan perbuatan tersebut boleh menghapuskan dosa dan menolak bala.
Selain daripada itu kepercayaan orang-orang tua juga tidak menggalakkan majlis perkahwinan diadakan dalam bulan Safar ini kerana mereka percaya bahawa kedua-dua pengantin tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam dan sesiapa yang masih berpegang padanya akan rosak akidahnya.
Sebenarnya nahas atau bala bencana tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut ini dilarang keras oleh Islam sebagaimana firman Allah SWT yang maksudnya “Katakanlah (wahai Muhammad) Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah kepada kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.” (at-Taubah:51)
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda “Tiada jangkitan, tiada sial, tiada jangkitan Safar dan tiada jangkitan hammah (binatang berbisa yang membunuh). Seorang Arab Badwi berkata “Apakah gerangan unta yang berada dalam pasir seakan-akan kijang betina lalu dicampuri oleh unta lain yang berkurap lalu menyebabkan ia berkurap? Rasulullah SAW bersabda “Siapakah yang menjangkitkan unta yang pertama?” (Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Ahmad)
KLINIK SOLAT
Penceramah: Ybhg Dato’ Ismail Bin Kamus Tarikh: 12hb Disember 2009
Tempat: Dewan Solat
KHALIFAH DI BUMI
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Ar-Rum:41)
Kesan rumah hijau menyebabkan suhu dunia meningkat. Peningkatan suhu dunia menyebabkan kerosakan di bumi. Keadaan cuaca sedunia akan tidak menentu, ais kutub akan cair, dan berbagai bencana alam seperti banjir dan ribut taufan akan berlaku. Kesan rumah hijau disebabkan bertambahnya gas karbon dioksida di udara kita. Gas ini datangnya dari penggunaan bahan api semulajadi. Penggunaan bahan api yang tinggi adalah dari kuasa lektrik dan kenderaan-kenderaan berenjin. Mengurangkan penggunaan bahan api akan mengurangkan kesan rumah hijau.
Allah SWT berfirman yang bermaksud "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: Mengapa Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." (Al-Baqara:30)
Kita semua boleh melibatkan diri dalam mengurangkan kesan rumah hijau dalam banyak cara. Berikut adalah beberapa cadangan:
1- Menjimat letrik di masjid, rumah dan tempat kerja.
2- Mengguna lampu dan hawa dingin yang boleh menjimatkan tenaga (energy saving).
3- Mengguna kenderaan hanya bagi perjalanan yang perlu.
4- Mengguna pengangkutan awam seperti bas dan LRT.
5- Mengguna kenderaan hybrid yang lebih efisyen.
SOLAT JUMAAT
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila tiba hari Jumaat, ada pada tiap-tiap pintu masjid malaikat ditugaskan menulis orang yang datang sembahyang Jumaat seorang demi seorang; kemudian apabila imam duduk di atas mimbar, malaikat-malaikat itu melipat lembaran-lembaran surat yang ditulisnya serta mereka datang mendengar khutbah." (Bukhari)
Allah SWT telah melantik malaikat-malaikat yang khusus bagi mencatat kedatangan sidang jemaah mengikut tertib dan susunannya mulai dari awal waktu hingga tiba masa imam naik ke mimbar membaca khutbah.
Kehadiran lebih awal untuk mengerjakan solat Jumaat adalah sangat-sangat diutamakan di dalam Islam. Oleh itu amat besarlah kerugian bagi orang yang terlewat daripada waktu catatan malaikat tersebut.
KEMBALI KE RAHMATULLAH
Sekalung doa bagi ahli-ahli kariah yang telah kembali ke Rahmatullah. Salam takziah kepada keluarga yang ada. Al-Fatihah.
1 – Dato’ Abang Zainie Bin Abang Suhai
2 – Wan Safiah Aini Binti Wan Abdul Rahman
3 – Dato’ Seri Laily Binti Abdul Majid
4 – Mohd Nor Bin Mahmud
ADAB KETIKA PERGI MASJID
1. Memakai pakaian yang menutup aurat.
2. Memakai wangi-wangian bagi kaum lelaki.
ADAB KETIKA MASUK MASJID
1. Masuk ke masjid dengan memulakan langkah kanan.
2. Berdoa ketika masuk.
3. Memberikan salam kepada sesiapa yang berada di masjid.
ADAB KELUAR MASJID
1. Memberikan salam pada orang yang masih berada di masjid.
2. Baca doa ketika keluar.
3. Mendahulukan kaki kiri ketika keluar dari masjid.
ADAB WANITA DI MASJID
1. Tidak boleh berwangi-wangian ketika menuju ke masjid. Dari Zainab at-Thaqfiyyah sesungguhnya nabi bersabda “Mana-mana dikalangan kamu (wanita) yang keluar menuju ke masjid maka janganlah ia mendekati wangian” (Nasai)
2. Wanita yang didatangi haid atau nifas tidak dibenarkan masuk ke masjid.
ADAB DI DALAM MASJID
1. Berniat iktikaf iaitu berada di dalam masjid dengan maksud beribadah kerana Allah.
2. Menunaikan solat dalam keadaan tenang dan tidak gopoh.
3. Tunaikan solat sunat tahiyyatul masjid.
4. Sebaik-baiknya bersolat pada tempat yang berdinding (sutrah).
5. Elakkan daripada keluar dari masjid selepas azan berkumandang melainkan atas sebab-sebab yang syarie.
6. Elakkan dari melangkah tengkuk para jemaah yang lain.
7. Elakkan daripada memakan benda–benda yang berbau.
8. Elakkan dari memakai pakaian yang mengganggu kekhusukan solat para jemaah.
9. Jaga kebersihan.
10. Menjauhkan diri daripada amalan yang bertentangan dengan adab-adab di masjid.
11. Menjawab azan ketika berkumandang.
12. Elakkan dari bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah atau bersifat keduniaan.
13. Jangan berjual beli ketika berada di dalam ruangan solat.
DOA MASUK MASJIDاللهم افتح لي أبواب رحـمتكYa Allah, bukakanlah untuk ku pintu-pintu rahmat Mu
DOA KELUAR MASJIDاللهم إنـي أسألك من فضلكYa Allah, aku pohon kepada Mu akan kurnia Mu
Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon: (03) 7958 5868 Faks: (03) 7957 9111 Emel: masjidbulat@gmail.com
1 comments:
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Didoakan semuga Allah akan memberikan ganjaran setimpalnya kepada semua pihak yang terlibat. Sesungguhnya, semua kegiatan yang dianjurkan adalah begitu baik dan bermanafaat.
Post a Comment