SEKAPUR SIREH
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ramadan telah memupuk kita supaya meningkatkan tahap ibadah kita. Syawal pula memberi kesedaran kepada kita bagaimana Allah SWT telah kurniakan kita berbagai nikmat dan kebahagiaan. Segala puji dan syukur kerana dalam keadaan ekonomi tertekan ini kita masih boleh lagi mengunjung ke rumah-rumah terbuka untuk menjalin silaturahim.
Alhamdulillah, pihak Masjid Tun Abdul Aziz pun dapat mengadakan rumah terbuka masjid dengan bantuan ramai ahli kariah dan rakan kariah. Dengan sumbangan setiap orang yang telah beramal jariah ini ia telah menjayakan objektif rumah terbuka masjid kita; iaitu mengeratkan hubungan antara semua yang hadir.
Sekiranya ada sebarang cadangan atau kemusykilan mengenai majlis rumah terbuka atau apa-apapun mengenai masjid sampaikanlah kepada kami melalui emel masjidbulat@gmail.com. Kotak-kotak cadangan juga telah disediakan di masjid untuk kegunaan semua.
Akhirnya diucapkan kepada semua jemaah yang akan mengerjakan haji; selamat berangkat ke tanah suci dan juga selamat kembali. Semoga setiap jemaah dikurniakan haji mabrur kerana tiada balasan baginya daripada Allah SWT melainkan syurga.
Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)
Pihak masjid bersedia untuk menguruskan korban sempena Aidil Adha untuk agihan di kawasan tempatan dan juga untuk luar negara.
Untuk korban tempatan harga sebahagian lembu adalah RM370.00 dan untuk satu ekor lembu RM2590.00
(7 bahagian).
MUHASABAH DIRI
1. Kalau kita bersemangat berpuasa, adakah kita bersemangat juga dalam bersolat?
2. Kalau kita bersungguh-sungguh menepati waktu berbuka, adakah kita bersungguh-sungguh menepati waktu solat?
3. Kalau kita berbuka dengan makan berjemaah, adakah kita solat juga berjemaah?
4. Kalau kita rajin solat terawih di masjid, adakah kita juga rajin solat fardu di masjid?
5. Kalau kita rajin beribadah dalam bulan Ramadhan, adakah kita rajin beribadah selepas Ramadhan?
Ubahkan pandangan kita terhadap Ramadhan dari bulan ibadah kepada bulan kita mula rajin beribadah.
MASJID PUSAT KEMASYARAKATAN
Masjid ialah rumah Allah dan juga pusat pembentukan masyarakat, yang dapat memainkan peranan ke arah meningkatkan syiar Islam. Masjid tidak hanya terbatas kepada ibadat khusus sahaja, seperti ibadat solat. Sebaliknya, konsep dan falsafah masjid yang telah ditunjukkan dan dipraktikkan oleh sirah Rasulullah SAW, merangkumi semua aspek termasuk perhubungan di antara manusia dengan Allah dan antara manusia sesama manusia. Sebagai contoh, Masjid Nabawi di Madinah, adalah menjadi nadi kepada keutuhan masyarakat dan negara Islam pertama, pusat perpaduan dan lambang kekuatan Islam.
Nabi Muhammad SAW banyak menerima wahyu di dalam masjid dan menjadikan masjid sebagai tempat mengajar para sahabatnya mengenai Islam, iman dan ihsan. Demikian juga mengajar cara-cara pembentukan peribadi, pembersihan hati, peraturan kekeluargaan, bermasyarakat dan bernegara.
Firman Allah yang bermaksud: "Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga di kerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang". (An-Nur:36)
Institusi masjid dijadikan sebagai pusat kegiatan rohani, pendidikan dan kegiatan masyarakat, bertujuan untuk membentuk iklim kehidupan yang patuh kepada perintah Allah dan mewujudkan suasana masyarakat harmoni.
Perkembangan ilmu dalam Islam, mempunyai hubungan rapat dengan ibadat. Dari sini universiti dalam Islam muncul di bawah bayangan masjid-masjid. Hari ini, kita dapati kewujudan Universiti Al-Azhar, Universiti di Maghribi, Al-Zaytouna di Tunisia dan lain-lain, kesemuanya bermula daripada kuliah di masjid.
Di peringkat awal Islam, masjid selain daripada peranannya sebagai universiti untuk memperdalamkan ilmu, ia juga merupakan parlimen tempatan untuk bermesyuarat dan mencari titik persefahaman dalam berbagai-bagai isu.
Solat berjemaah di masjid, boleh membentuk keperibadian seseorang dan juga membina ikatan ukhwah yang kukuh. Islam memberi darjat yang tinggi kepada mereka melakukan solat berjemaah.
Sabda Rasulullah SAW : "Solat berjemaah lebih afdhal daripada solat seorang diri dengan beroleh ganjaran 27 darjat." (riwayat Al-Bukhari)
Kewajipan solat jumaat setiap minggu pula mengajar kita bagaimana untuk menjadi bangsa yang kuat dan disegani, kerana amalan tersebut memberi peluang kepada kita bertemu dan berkenalan di antara satu dengan yang lain.
Solat jumaat yang dilakukan hanya seminggu sekali di dalam masjid, belum mencukupi untuk membuktikan peranan masjid yang sebenar. Seseorang muslim hendaklah melaksanakan tugas selaku pengimarah masjid dengan ibadat khusus dan juga ibadat umum, kerana dengan inilah masjid benar-benar hidup dan berperanan dalam ibadat dan masyarakat.
Untuk memasyarakatkan masjid, perlu kepada usaha yang gigih dan perancangan yang rapi. Kita hendaklah menjadikan masjid kepada dua keadaan :
1- Menjadikan masjid seperti besi magnet, iaitu mempunyai daya penarik kepada para penduduk supaya berminat berkunjung ke masjid. Semua pihak bertanggungjawab menyediakan bukan sahaja tempat ibadat yangs selesa, tetapi kebersihan alam sekitar dan keceriaan yang menarik, indah, kemas, tenang dan damai. Masjid perlu menganjurkan aktiviti yang sesuai bagi semua lapisan umur, seperti untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa. Berbagai aktiviti yang berpengkalan di masjid perlu dianjurkan.
2- Menjadikan masjid seperti dian atau lilin, yang mana kehadirannya menyinari hidup para penduduk. Mereka yang susah dikenalpasti dan diusahakan bantuan. Bahan-bahan penerbitan disediakan dan diedarkan kepada ahli kariah ke rumah-rumah. Mereka yang jarang datang ke masjid akan dapat merasakan kehadiran mereka ke masjid tertarik menerusi keramahan dan kemesraan jawatankuasanya. Setiap tuturkata dan tindak-tanduk para aktivis masjid perlu sentiasa disandarkan kepada kesedaran bahawa kita sedang menjalankan amanah dan tanggungjawab dakwah.
Setiap ahli kariah atau para jemaah lebih-lebih lagi para pegawai dan jawatankuasa masjid, hendaklah sentiasa mendukung sifat-sifat murni, antaranya : -
1. Sentiasa ramah mesra, hormat-menghormati di antara satu dengan lain serta halus budi bicara.
2. Berfikiran terbuka dan jujur.
3. Mengenal keaiban diri dan tidak menyebarkan keaiban orang lain.
4. Sentiasa menekankan kepada kecemerlangan.
" Sesungguhnya Masjid Qubaa' yang engkau bina wahai Muhammad, yang telah didirikan atas dasar takwa dari mula wujudnya, lebih patut engkau bersolat di situ. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang ingin membersihkan (mensucikan) dirinya ; Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)". (At-Taubah:108)
SEPINTAS SYAWAL
Majlis rumah terbuka masjid telah diadakan pada 22 Syawal 1430. Dianggarkan 1,000 tetamu telah hadir. Mereka terdiri dari ahli kariah serta keluarga mereka dan jiran persekitaran yang terdiri dari berbagai kaum. Tetamu dari luar negara turut bersama. Keceriaan majlis sungguh terasa dengan kehadiran belia-belia dan anak-anak. Bermacam hidangan disediakan. Diantaranya kuih-muih yang enak dan buah-buahan yang disediakan oleh Biro Wanita dan warga kerja masjid. Banyak lagi sumbangan hidangan serta barangan diterima dari ahli kariah dan penyumbang yang pemurah.
IBADAH HAJI
Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 27 bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
Dari sudut kemasyarakatan, ibadah haji merupakan perhimpunan antarabangsa umat Islam dan mereka berada dalam satu tempat dalam satu masa dengan menghayati satu visi dan misi. Ibadat haji mendidik manusia bahawa manusia itu sama, tidak ada perbezaan taraf, darjat berasaskan bangsa dan warna kulit, kekayaan dan sempadan geografi. Semuanya sama, ianya dijelmakan melalui pakaian ihram.
Ibadah haji juga merupakan suatu perghimpunkan umat Islam dari seluruh dunia. Daripada perhimpunan ini menggambarkan bahawa wujudnya kesatuan manusia hanya dapat dirialisasikan dengan satu aqidah dan satu syariat. Ibadah haji dapat membentuk keperibadian muslim dengan akhlak dan disiplin yang baik. Segala perintah dan larangan semasa ihram dipatuhi untuk mendapat haji yang mabrur.
Dari aspek spiritual manusia, ibadah haji menyuburkan keimanan dan ketakwaan. Ia mendidik dan memupuk spiritual seseorang agar mentauhid dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata. Dalam masa yang sama menolak untuk tunduk selain Allah. Perkara sebegini terpancar jelas melalui ucapan-ucapan talbiah, doa dan zikir yang diucap oleh para jamaah haji ketika menunaikan ibadah tersebut. Kita sebagai umat Islam boleh melihat sendiri Baitullah dan beribadah di Masjid Nabawi serta menziarahi makam Rasulullah SAW.
Untuk melaksanakan ibadah haji, dua perkara perlu diutamakan bagi menjamin niat kita tercapai:
1. Kita hendaklah sentiasa mempersiapkan diri dengan ilmu yang cukup, seelok-eloknya kita menghadiri atau mengikuti kursus-kursus haji yang diadakan dari masa ke semasa.
2. Hendaklah kita berusaha menyediakan bekalan perbelanjaan yang diperlukan, kerana bagi tujuan menunaikan ibadah haji perbelanjaan yang agak tinggi diperlukan dan tidak semua orang mampu menyediakannya dengan sekaligus. Kerana itu, langkah yang paling baik ialah dengan menyimpan sedikit demi sedikit dengan Tabung Haji dan InsyaAllah dengan niat dan azam yang bersungguh-sungguh serta ikhlas akan terkumpul simpanan yang mencukupi untuk kita menunaikan rukun Islam yang kelima ini.
Mudah-mudahan haji yang akan kita lakukan diterima oleh Allah sebagai haji mabrur.
HAJI MABRUR
Bagaimana untuk mencapai haji mabrur?
Pada prinsipnya, haji mabrur boleh dicapai dengan melaksanakan beberapa amalan.
Ibadat haji yang dilaksanakan itu hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan tidak riak atau menunjuk-nunjuk serta berbangga-bangga kepada orang lain.
Semua perbelanjaan haji adalah daripada sumber yang halal.
Melakukan rukun dan fardhu haji dengan memenuhi syarat dan sempurna.
Melakukan ibadat haji dengan taat, jujur dan ikhlas.
Beristiqamah dengan terus menerus mengamalkan perintah Allah SWT dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang dalam kehidupan seharian.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah. Dan Allah Taala mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepada-Nya dan sesiapa yang kufur dan ingkar kewajipan haji itu, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dan tidak berhajatkan sesuatu pun daripada sekalian makhluk".(Ali 'Imran:97)
MENGAWAL MARAH
1. Menahan perasaan marah, memaafkan kesalahan orang lain dan berlaku ihsan adalah antara sifat yang mesti dipupuk dalam diri setiap manusia kerana ia boleh menambahkan keimanan.
2. Marah umumnya menunjukkan sifat seorang yang lemah kerana gagal mengawal emosinya sendiri. Ia merupakan tabiat yang sukar dihapuskan. Apabila marah, kedua mata menjadi merah, urat leher pula kelihatan timbul. Oleh itu Rasulullah mengatakan bahawa kemarahan itu adalah bara api di dalam hati anak Adam dan ia datangnya daripada syaitan yang dijadikan daripada api di mana api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka Rasulullah SAW menasihatkan apabila marah, hendaklah seseorang itu berwudhuk (mengambil air sembahyang).
3. Imam al-Ghazali pula berkata: "Kemarahan manusia itu bermacam-macam-macam. Setengahnya cepat marah tetapi cepat tenang. Setengahnya pula lambat marah dan lambat pula tenang dan setengah yang lain pula, lambat marah tetapi cepat tenang. Maka yang ketiga inilah yang paling terpuji."
4. Tidak semua kemarahan itu dilarang oleh Islam. Marah perlu ada terhadap perkara yang tidak disukai yang menyalahi kebenaran sebagaimana yang diajarkan oleh agama atau perkara yang terang-terang dilarang agama di mana kita dilarang mendiamkan diri jika kehormatan peribadi dan agama dihinakan.
Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya “Tidak ada keberanian yang paling disukai oleh Allah SWT selain dari keberanian hamba menahan kemarahan. Tidaklah seorang hamba itu menahan kemarahannya melainkan Allah SWT akan mengisi dadanya dengan keimanan.” (Ibn Abi Dunya)
BERMUSUHAN ANTARA MUKMIN
Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah SWT dalam sejumaat (seminggu) dua kali, iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan: “Tinggalkanlah kedua orang ini dahulu sampai mereka berdamai.” (Muslim)
Ucapan Talbiah:
لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَشَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ،
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ،
لاَشَرَيْكَ لَكَ
إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ،
لاَشَرَيْكَ لَكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada perintah-Mu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu kami sahut seruan-Mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagi-Mu.”
Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon: (03) 7958 5868 Faks: (03) 7957 9111 Emel: masjidbulat@gmail.com