SEKAPUR SIREH
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dalam usaha untuk meningkatkan tahap keselesaan ahli kariah semasa beribadat dan menjalani aktiviti-aktiviti di masjid banyak penambahbaikan dicadang dan ada yang telah dilaksanakan seperti sistem pembesar suara yang kini lebih baik di dewan solat dan juga di dewan tingkat bawah.
Penambahbaikan bagi ruang solat wanita kini sedang dicadangkan dan akan dilaksana dalam masa yang terdekat. Ruang solat wanita akan lebih luas dan berhawa dingin. Gerai-gerai makan pula dicadang pindah ke tempat yang lebih sesuai dan secara lansung akan memberi keselesaan kepada pengunjung gerai. Cadangan pengubahsuaian telah dipamerkan di papan kenyataan masjid di dewan solat utama, di ruang solat wanita, dan di tingkat bawah. Sebarang maklumbalas dari semua pihak sangat dialu-alukan untuk memastikan masjid kita mencapai tahap keselesaan yang diingini.
Fokus Nukilan Masjid Bulat bulan ini adalah mengenai wanita. Allah telah menganugerahkan kepada wanita sama seperti yang dianugerahkan kepada lelaki dari segi potensi dan kemampuan untuk memikul tanggungjawab. Kerana itu hukum-hukum syariat pun meletakkan kedua-duanya dalam satu rangka yang sama. Sebagaimana firman Allah SWT “Barang siapa yang mengerjakan amal-amal soleh, baik laki-laki maupun wanita sedangkan mereka orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiayai walau sedikit pun”. (An-Nisa:124)
Biro wanita yang begitu aktif banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti yang mana telah mendapat sambutan yang amat baik dari ahli kariah. Di antaranya adalah kelas memasak, lawatan ke kolam air panas di Trolak, dan juga berbagai ceramah termasuk ceramah kesihatan bertajuk “Pemakanan Sihat” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Fatimah Arshad.
Laman web masjid kita http://www.masjidbulat.com kini boleh sama-sama kita gunapakai. Ini membolehkan lebih ramai mengetahui perkembangan masjid dan juga untuk berinteraksi. Diharap laman web ini dapat dimaklumkan kepada anak-anak kariah yang berada jauh di perantauan supaya mereka dapat tahu perkembangan masjid.
Semoga kita sama-sama dapat membangunkan masjid bukan hanya dari segi fisikal malah membangunkan juga ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Nazir
(Dato’ Profesor Dr Zulkifli Hj Mohd Yusoff)
Ceramah Perdana
15 Mei Sabtu (malam Ahad) lepas Maghrib Mejar Wan Madzlan – Pegawai KAGAT TLDM, Penceramah TV3, Ahli Panel IKIM.
3 Jun Khamis (malam Jumaat) lepas Maghrib Ustaz Sukki Othman – Pegawai Kanan UPM, Ahli Panel TV9.
Kuliah Maghrib
Jumaat – Hadis Bukhari (Prof Madya Dr Hayei Bin Abdul Shukur)
Sabtu – Feqah (Hj Abdullah Bin Abdul Rahman)
Ahad – Jalan Menuju Redha Allah (Ustaz Abdul Aziz Bin Ibrahim)
Rabu – Ihya’ Ulumuddin (Dato’ Prof Dr Mohd Mokhtar Bin Shafie)
Kuliah Dhuha
Ahad minggu 1 & 3 - Ustaz Ahmad Faisal Abdul Hamid
Ahad minggu 2 & 4 - Profesor Dr Fauzi Deraman
Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki maupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan (pembayarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak. (Al-Hadid:18)
MELINDUNGI WANITA
Antara tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah ialah mencipta makhluk-Nya berpasang-pasangan. Dari berpasangan inilah berkembang dan membiak hingga bertebaran ke serata dunia. Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Yasin ayat 36 : "Akuilah kesucian Allah Tuhan yang telah mencipta makhluk-makhluk semuanya berpasangan sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak dapat mengetahuinya."
Antara tujuan dijadikan manusia berpasangan ini adalah untuk menjalin hubungan melalui perkahwinan dan daripada sinilah akan lahir zuriat yang akan mewarisi pasangan tersebut sehingga menjadi satu asas dalam pembentukan masyarakat.
Sabda Rasululullah SAW: "Seseorang wanita dinikahi kerana empat perkara kerana hartanya, keturunannya, kecantikan dan agamanya, oleh itu pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beruntung".
Ketika zaman jahiliah kaum wanita menjadi pemuas hawa nafsu lelaki. Mereka dianggap pembawa sial, barangan yang boleh dijual beli dan diwarisi. Kerana itu, pada zaman itu kanak-kanak perempuan yang tidak berdosa dibunuh kerana dianggap membawa sial dan memalukan.
Justeru, kedatangan Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW telah mengangkat martabat dan darjat kaum wanita. Mereka diberi layanan dan kedudukan yang sama sebagaimana kaum lelaki dalam banyak hal.
Walaupun Islam telah memuliakan kaum wanita, masih terdapat kecenderungan sesetengah pihak yang meremehkan wanita. Cuba bayangkan jika yang menjadi mangsa itu ialah ibu kita sendiri. Cuba bayangkan jika yang menjadi mangsa kezaliman terkena ke atas isteri, anak perempuan atau adik atau kakak kita sendiri.
Kita merasa amat sedih dan bersimpati mendengar berita wanita diperkosa, didera dan dizalimi dengan pelbagai bentuk tekanan psikologi.
Marilah kita bersama-sama menghormati serta memelihara hak kaum wanita dalam hal-hal berikut:
1. Melindungi mereka serta menyempurnakan tanggungjawab dan amanah bagi membahagiakan mereka sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya antara sifat-sifat yang boleh menjadikan seseorang sempurna imannya ialah orang yang berakhlak mulia dan berlemah lembut dengan ahli keluarganya".
2. Kebahagiaan kaum wanita adalah menjadi asas utama kebahagiaan keluarga, masyarakat dan negara.
3. Allah SWT tidak membezakan antara lelaki dan perempuan dalam hal memberi ganjaran atau pahala dalam setiap amal soleh yang dilakukan.
4. Kita tidak sepatutnya mempertikaikan keadilan dan anugerah Allah yang diberikan kepada mana-mana pihak sama ada lelaki ataupun wanita. Oleh itu, sikap anti lelaki atau meremeh-remeh dan memandang rendah kepada wanita adalah sikap yang tidak selari dengan kehendak agama Islam.
Dari Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda “Orang-orang yang berusaha mencari nafkah untuk perempuan-perempuan yang tidak (belum) bersuami dan untuk orang-orang miskin, sama dengan orang-orang yang berjuang fisabilillah.” (Muslim)
IMAM WANITA JEMAAH WANITA
Seorang wanita menjadi imam bagi jemaah wanita adalah sah.
Tempat berdiri seorang wanita yang menjadi imam sembahyang jemaah bagi sekumpulan orang-orang wanita ialah bersama-sama mereka di dalam saf; bukannya di hadapan saf mereka seperti imam lelaki.
Telah diriwayatkan bahawa Aisyah RA dan Ummu Salamah RA seringkali menjadi imam sembahyang bagi jemaah wanita, mereka berdua berdiri bersama-sama mereka di dalam saf yang sama.
Tempat berdiri makmum wanita sewaktu mendirikan sembahyang berimamkan seorang wanita ialah seperti berikut:
1 – Sekiranya makmum wanita itu seorang sahaja maka tempat berdirinya ialah sebelah kanan imam perempuan.
2 – Sekiranya makmum wanita itu ramai, maka tempat berdiri mereka ialah dikiri dan dikanan imam wanita. Imam berdiri di tengah-tengah saf bersama mereka.
Adalah harus bagi seorang imam wanita menyaringkan suaranya ketika menunaikan sembahyang Subuh, Maghrib dan Isyak. Tetapi sekiranya ada lelaki yang bukan muhrim boleh mendengar bacaannya maka tidak boleh ia membaca dengan nyaring.
Yang layak menjadi imam untuk jemaah wanita ialah seorang wanita yang lebih pandai membaca Al-Quran daripada orang lain. Malah yang lebih layak lagi ialah wanita yang pandai membaca Al-Quran dan lebih mengetahui hukum-hukum syarak.
Sabda Rasulullah SAW: “Dan janganlah seseorang itu menjadi imam bagi orang yang berkuasa dalam kawasannya dan janganlah ia duduk di tempat duduknya yang khas melainkan dengan izinnya.” (Muslim)
Dari keterangan hadis dan penjelasan imam Al-Nawawi dapat disimpulkan bahawa seorang wanita yang menjadi tuan rumah adalah lebih layak dan lebih utama menjadi imam sembahyang jemaah yang didirikan di rumahnya. Tetapi adalah sunat bagi tuan rumah mengizinkan dan meminta orang yang lebih alim menjadi imam.
Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (An-Nisa:32)
USAHANITA WARGA EMAS
"Assalamualaikum, dah sarapan?" kata-kata yang sering diucapkan oleh Hjh Siti Rahmah usahanita warga emas yang berniaga sayur di Pasar Seksyen 14 sudah lebih 30 tahun.
Dengan hasil titik, peluh beliau telah membesarkan 5 orang anak. Kesemua anak-anak berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Setelah sekian lama anak-anak memujuk supaya ibu mereka berehat, baru kini akan menurut kehendak anak. Beliau bercadang bersara dari dunia perniagaan dan akan bersama anak-cucu tidak berapa lama lagi. Pasti kita akan merinduinya seorang insan yang pemurah dan peramah, wanita yang gigih berniaga demi keluarganya.
ANAK PEREMPUAN
Perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.
Kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting.
Rasulullah SAW pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Takutlah kamu kepada Allah SWT dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita." Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan dan isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah SWT.
Kata orang ‘menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga anak perempuan seorang’. Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum. Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya. Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.
Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka.
Daripada Aisyah RA: Nabi SAW telah bersabda yang maksudnya “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu terus menjaga dan memelihara mereka dengan baik, nescaya anak-anak perempuan itu menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” (Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)
KURSUS LANJUTAN URUSAN JENAZAH (AMALI)
Tarikh: 12 Jun 2010 (Sabtu)
Waktu: 9.00pg - 1.00tgh
Tempat: Dewan Tingkat Bawah
Kursus lanjutan berbentuk amali yang membolehkan para peserta secara individu mengurus jenazah daripada memandi, menyiapkan perkakas kafan, memotong kain serta proses mengkafan. Sesiapa yang berminat sila hubungi pihak masjid.
رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi.
Nukilan ini tercatat nama-nama Allah serta ayat-ayat al-Quran, dipohon memberi perhatian dalam penggunaan dan penyimpanannya.
Masjid Tun Abdul Aziz, Jalan Semangat, Seksyen 14, 46100 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan
Telefon:(03)7958 5868 Faks:(03)7957 9111 Emel:masjidbulat@gmail.com Laman web:www.masjidbulat.com